Neonate X SVG Jalin Kerjasama Lancar Koleksi Race Day

Neonate X SVG Jalin Kerjasama Lancar Koleksi Race Day

0
SHARE
Race day
Poster pelancaran koleksi ‘Race Day’ oleh Neonate X SVG ( Sumber Foto: Ihsan Neonate X SVG )

KUALA LUMPUR – Dua jenama ‘streetwear’ terkemuka di Malaysia, Neonate Clothing Company dan SVG Worldwide bakal menjalinkan kolaborasi istimewa sempena Kuala Lumpur Fashion Week 2023 (KLFW23) yang berlangsung bulan ini.

Koleksi yang dikenali sebagai ‘Race Day’, pertunjukan Neonate X SVG ini akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 20 Ogos 2023, sehari sebelum jadual rasmi KLFW23 mula mengambil tempat pada 21 Ogos 2023.

Dalam satu kenyataan bersama, Pengasas dan Pengarah Kreatif Neonate Clothing Company, Karl Shafek berkata panggilan terbuka telah dibuat bertujuan untuk mencari model baru telah menarik bilangan peserta yang memberangsangkan.

Lebih daripada 700 orang dari seluruh negara hadir ke sesi dua hari panggilan terbuka kami.

“Daripada bilangan ini , kami telah menyenarai pendek 77 bakat baru yang kami anggap pilihan terbaik untuk mewakili kedua-dua jenama dan koleksi kami yang akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengasas SVG Worldwide, Ashraf Anuar berkata model terpilih telah menghadiri Kem Latihan Model kelolaan Tinie, model terkemuka Malaysia yang mempunyai pengalaman luas bekerja dengan pereka tempatan dan antarabangsa.

“Ia merupakan kursus yang benar-benar intensif dengan jadual yang padat dengan masa yang amat terhad, justeru memerlukan komitmen penuh daripada model-model yang terlibat,” katanya.