KOTA BELUD: Dua gadis berusia 20 dan 21 tahun yang dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti riadah mendaki di Bukit Bongol, di sini, petang kelmarin, berjaya ditemui selamat oleh pasukan penyelamat.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai pada jam 6.44 petang sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan tiba di lokasi sekitar jam 7.02 malam dan terus melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR). Mangsa ditemui pada jam 9.22 malam berhampiran kawasan bukit dalam keadaan selamat.
“Kedua-dua mangsa kemudian diiring keluar ke kawasan selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Operasi SAR diketuai PBK I Hasmaddy Agum dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut digunakan dalam operasi itu ialah sebuah jentera FRT dengan enam anggota serta sebuah EMRS dengan dua anggota.
Setelah memastikan tiada lagi risiko lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11 malam.






