KOTA KINABALU: Kekecohan tercetus selepas perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Futsal Malaysia 2025 antara Sabah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila ketua jurulatih Sabah, Roger Filipe, ditumbuk oleh pegawai pasukannya sendiri.
Sabah yang pada awalnya mendahului 3-1 akhirnya kecundang 3-4 selepas dibolosi tiga kali berturut-turut di penghujung permainan.
Kekalahan itu nyata mengundang rasa kecewa di kem Sabah, dan suasana menjadi panas sebaik wisel penamat dibunyikan.
Menurut rakaman video yang tular, Roger beremosi dan cuba ditenangkan oleh seorang pegawai pasukan.
Namun keadaan bertukar tegang apabila jurulatih kelahiran Portugal itu tiba-tiba menyiku pegawai terbabit.
Tindakan tersebut mencetuskan insiden lebih serius apabila pegawai berkenaan membalas dengan menumbuk Roger sehingga beliau terjatuh dan terbaring di gelanggang, sekali gus mengejutkan penonton di arena.
Beberapa pemain dan pegawai segera masuk campur untuk meleraikan pergaduhan sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
Setakat ini, pihak pengurusan Sabah dan penganjur masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden memalukan itu.
Pegawai pertandingan, Rosmadi Ismail, yang berada di lokasi mengakui terkejut dengan kejadian tersebut.
“Saya tidak sangka perkara sebegini berlaku. Kami akan menunggu laporan rasmi, meneliti rakaman, dan memanggil pihak terbabit. Tingkah laku sebegini boleh dikenakan tindakan,” katanya.
Insiden ini berlaku hanya sehari selepas Malaysia Football League (MFL) melancarkan kempen “Kita Tolak Budaya Buli” yang bertujuan membanteras keganasan serta penyalahgunaan dalam arena bola sepak tempatan.
Sabah kini terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas gagal mempertahankan kelebihan untuk meraih tempat ketiga.






