PUTRAJAYA – Kestabilan politik negara Malaysia hanya dapat dikecapi dengan pembentukan sesebuah kerajaan yang kuat.
Demikian merupakan tawaran utama dalam manifesto Barisan Nasional (BN) yang baru sahaja diumumkan malam tadi.
Dalam membuat itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperkenalkan Pelan Amal dan Usaha (PADU) sebagai pelan yang konkrit untuk negara.
Ianya akujanji parti kepada rakyat Malaysia yang akan ditunaikan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
Katanya, rakyat mesti bijak memilih parti yang boleh membentuk kerajaan yang bertanggungjawab, pragmatik dan mempunyai rencana jelas untuk Malaysia.

“BN sedar bahawa kami mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk menawarkan yang terbaik kepada negara. Dan ini kami lakukan melalui dua strategi penting…
“Pertama, kami akan mewujudkan kestabilan politik dengan membentuk sebuah Kerajaan yang kuat. Kedua, kami akan menguruskan Malaysia agar menjadi sejahtera dan makmur.
“Percaya ini akan dicapai dengan melaksanakan pelbagai pelan dan perancangan yang bersifat prorakyat, propembaharuan, prokemajuan dan mengutamakan keterangkuman,” katanya.
Beliau berkata PADU adalah tawaran baharu yang segar atau daripada BN kepada rakyat Malaysia.
LIMA (5) IDEA BESAR YANG MENDASARI TAWARAN UTAMA DI BAWAH PADU ADALAH:
1. SKIM KEMASUKKAN AUTOMATIK KEPADA SEMUA ISI RUMAH YANG MEMPUNYAI PENDAPATAN KURANG DARIPADA RM2208.
“Bagi mereka yang mempunyai pendapatan dalam kelompok M40 dan termasuk dalam kumpulan pembayar cukai antara RM50 ribu hingga RM100 ribu pula, kita akan memberi 2 peratus potongan cukai pendapatan.
“Ini sudah pasti akan membolehkan kuasa beli golongan M40 meningkat dan mengurangkan beban kewangan mereka.”
2.MEMPERKASA PENDIDIKAN AWAL SECARA PERCUMA UNTUK SEMUA KANAK-KANAK BERUSIA ENAM (6) TAHUN DAN KE BAWAH.
“Selain sistem sekolah rendah dan sekolah menengah, selepas ini Malaysia akan turut mempunyai sistem pendidikan awal dan asuhan percuma di seluruh negara…
“BN akan memperkenalkan Sistem Persekolahan Tanpa Buku Teks yang akan menyaksikan pembelajaran berlangsung menggunakan laptop atau komputer riba.
“Untuk itu, dua (2) inisiatif besar BN untuk perkara ini adalah memberi komputer riba percuma kepada semua pelajar B40 dan memastikan 100 peratus liputan Internet 5G di semua sekolah dalam masa 18 bulan.
“Pada peringkat pengajian tinggi pula, Barisan Nasional akan memberikan pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak dalam kalangan B40…
“Selain pengajian tinggi tanpa yuran kepada semua individu dari kelompok B40, universiti awam atau Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara akan menawarkan sistem pengajian anjal iaitu 50 peratus pengajian di kampus, dan 50 peratus lagi secara dalam talian atau jarak jauh, yang akan sekali gus mengurangkan sehingga separuh kos pengajian.
“Bagi menghapuskan eksploitasi, semua mahasiswa atau sesiapa sahaja yang melakukan latihan amali atau internship akan diwajibkan bayaran elaun oleh majikan.
“Seterusnya, memandangkan Malaysia sedang bergerak menjadi sebuah negara tua, perubahan radikal ketiga yang akan dilakukan adalah mewujudkan ekosistem perlindungan dan penjagaan warga emas yang lebih baik.
“Ini termasuklah penggubalan Akta Penjagaan Warga Emas dan memantapkan fungsi dan keupayaan pertubuhan bukan kerajaan atau NGO yang mengendalikan pusat penjagaan warga emas dan OKU dengan peruntukan RM105 juta untuk lima (5) tahun,” katanya.
3.KETERANGKUMAN DAN PENGIKTIRAFAN KERENCAMAN.
“BN akan menjadikan sekolah kebangsaan sebagai medan menyubur keharmonian dan menyemai nilai menghargai satu sama lain…
“Selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang kini diajar di semua sekolah, di bawah BN nanti, semua sekolah akan turut mengajar bahasa-bahasa komunikasi asas yang lain seperti Mandarin, Tamil, Iban, Kadazan, Dusun dan bahasa-bahasa etnik yang lain.
“Yang pasti, sekolah akan dijadikan medan paling ampuh untuk memupuk kesedaran kemajmukan dan perpaduan.
“Di peringkat swasta pula, kita ingin memastikan para majikan mengambil pekerja daripada pelbagai bangsa, gender dan latar belakang dengan menawarkan insentif cukai kepada syarikat-syarikat yang mempunyai kemajmukan pada peringkat pengurusan.
“Selain itu, kita mahu isu gangguan seksual, ketidaksaksamaan gaji, imbuhan dan layan kerana perbezaan gender dihapuskan sama sekali dengan meneliti kesesuaian penubuhan Tribunal Kesaksamaan Gender dan menubuhkan Tribunal Anti Gangguan Seksual.
“Pada masa yang sama, atas nama keterangkuman juga, kita tidak lagi mahu, anak-anak yang dilahirkan melalui perkahwinan campur, atau mereka yang berbeza identiti bangsa dan agama dinafikan hak untuk menjadikan Malaysia tanahair tercinta.”
4.PENGGANDAAN USAHA ASAS-ASAS PENTING UNTUK MENCIPTA MASA DEPAN YANG LEBIH BAIK
“BN nekad memastikan amalan politik di negara ini dihidupkan hanya dengan cara yang bertanggungjawab dan telus melalui penggubalan Akta Pendanaan Politik.
“Pada masa yang sama, pelantikan jawatan utama negara seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengerusi SPR akan melalui saringan jawatankuasa khas Parlimen…
“Melalui wakil mereka di Parlimen, rakyat akan diberikan mandat untuk meneliti dan terlibat dalam tapisan pelantikan jawatan awam terpenting di negara ini.
“Kita akan menghapuskan semua permit import atau AP untuk semua jenis kereta elektrik bagi memastikan akses yang lebih luas kepada kereta mesra alam mampu milik.
“Kita juga akan berusaha menambah litupan kawasan berhutan negara kepada 60 peratus keluasan dengan kerjasama kerajaan negeri.”
5.AMALAN DAN USAHA BERSTRATEGI YANG BERTERUSAN
“Perancangan yang baik mesti disusuli dengan amalan yang berstrategi, baik dan usaha yang gigih. Insya-Allah PADU akan didukung dan diusahakan dengan mengumpul bakat-bakat terbaik dalam kalangan calon yang terpilih.
“BN akan membentuk pasukan yang mempunyai ilmu, pengalaman dan berwibawa yang diperlukan dalam menjadikan PADU satu realiti…
“Pasukan yang jiwa dan raga mereka, didedikasikan kepada rakyat dan negara tercinta. Pasukan yang bersedia memberikan yang terbaik demi menterjemahkan PADU,” katanya.
Namun dengan tawaran-tawaran hebat yang mampu memacu Malaysia ke arah lebih padu, Zahid mengakui ianya bukan pelan yang sempurna.
“Tapi saya dan seluruh pasukan BN percaya, ia mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri. Saya jemput semua untuk meneliti pelan amal dan usaha kami.
“Saya menyeru sokongan dan doa daripada semua. Semoga apa yang kita lakukan bersama ini membuahkan hanya yang terbaik untuk tanah air, Insya-Allah. Undilah kestabilan. Undilah Kemakmuran. Undilah Barisan Nasional,” ujarnya.





