KOTA KINABALU: Golongan wanita sekitar Kota Kinabalu dipelawa menyertai program ‘1st Rideversary Slow & Steady 2022′, Sabtu ini.
Setiausaha Kelab Basikal Lipat Kota Kinabalu, Noramylia Halil berkata, program kayuhan berkenaan adalah julung kali diadakan dengan memberi keutamaan kepada peminat sukan berbasikal wanita.
“Program kayuhan sejauh 26 kilometer itu akan bermula di Teluk Likas dan berakhir di Tanjung Aru dengan menyasarkan seramai 200 wanita sekitar kawasan Bandaraya Kota Kinabalu.
“Kepada yang berminat untuk menyertai program ini bolehlah mendaftar sebelum 10 November dengan yuran sebanyak RM30,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Toh Puan Norlidah R.M. Jasni di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.
Kunjungan tersebut bertujuan menjemput Toh Puan Norlidah untuk hadir sekaligus merasmikan program kayuhan itu.
Turut hadir, Pengerusi Kelab Basikal Lipat, Norsazila Khalid, Timbalan Pengerusi, Nor Sela Aman dan Bendahari, Sarinah Arnab.