
KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 22 daripada 30 Projek Mesra Rakyat (PMR) Parlimen Sepanggar telah dinikmati rakyat di kawasan berkenaan manakala lapan projek dijangka siap hujung tahun ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud berkata lapan projek yang sedang berjalan antaranya adalah menaik taraf jalan gravel ke jalan konkrit di Kampung Sinulihan Inanam, Kampung Kepayan Tengah Mansiang, Kampung Lobou Satu dan Kampung Pinahawon dari low level crossing ke Kampung Ruminding.
“Pembinaan parit berukuran 70 meter (2m x 3m) di Kampung Gudon juga sedang berjalan di samping penyelenggaraan titian kayu utama untuk pejalan kaki di Kampung Rampayan Laut dan Kampung Kalansanan serta pulih tandas dan naik taraf Masjid Jamek Likas,” katanya semasa Sesi Town Hall Parlimen Sepanggar Siri 3 di Dewan Masyarakat Manggatal.
Beliau memberitahu projek-projek yang telah berjaya disiapkan antaranya penyelenggaraan balai raya Kampung Bangka-Bangka Kingfisher serta pembinaan baharu rumah sampah di Taman Sepanggar dan Kampung Darau.
“Turut dibina adalah pondok rehat dan dua buah tandas di Tanah Perkuburan Orang Kristian Kampung Kiang Lama dan Kampung Tiku Ruminding,” jelasnya.
Di samping itu, Mustapha turut menggalakkan belia Sepanggar menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang telah disediakan oleh kerajaan melalui UP TVET di laman web https:// mohon.tvet.gov.my/.
“TVET diberi perhatian utama kerana mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran kerja dan memastikan belia mendapat pekerjaan dengan gaji setimpal adalah salah satu agenda utama kerajaan,” ujarnya.
Hadir sama, Pembantu Menteri Pertanian Perikanan dan Industri Makanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Peto Galim. — JABATAN PENERANGAN SABAH





