GUWAHATI, INDIA – Polis India di sini berjaya menangkap seorang pencuri yang dipercayai sedang leka berehat sebentar semasa melakukan misi merompak sebuah rumah dengan memasak “khichdi” di rumah yang dirompaknya.
Kejadian ini tular di media sosial melalui ciapan Polis Assam menerusi akaun Twitter mereka baru-baru ini.
Difahamkan, pencuri berkenaan memecah masuk di kawasan kejiranan Hengerabari Guwahati, selepas memastikan penghuni kediaman itu tidak berada di rumah berkenaan.
Memetik laporan Times Now News, jiran yang sudah sedia maklum ketiadaan mereka berasa hairan mendengar bunyi bising dari dapur semasa suspek dipercayai mula memasak sedangkan penghuni atau pemilik rumah berkenaan tidak ada di rumah itu.
Mereka kemudiannya masuk ke dalam rumah tersebut dan terkejut menemui pencuri itu sedang sibuk memasak.
Akhirnya, suspek berjaya ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.





