BEAUFORT: Seorang lelaki berusia 52 tahun yang dilaporkan hilang selepas masuk ke hutan bagi mencari kerbau peliharaannya yang terlepas di Kampung Nabahan, Weston, semalam, berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada tengah hari kelmarin.
Mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak jam 11.30 pagi Khamis, menyebabkan keluarganya membuat laporan polis pada jam 8.44 malam hari yang sama selepas usaha awal mencari gagal menemukannya.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.14 pagi tadi.
Sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort ke lokasi sejauh 33 kilometer menggunakan bot dari Jeti Weston untuk menyeberangi sungai ke Kampung Nabahan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Sukarelawan Bomba (PSB), serta penduduk kampung dengan kekuatan keseluruhan lebih 50 orang.
“Mangsa akhirnya berjaya ditemui kira-kira jam 12.40 tengah hari oleh anaknya bersama sekumpulan penduduk kampung di kawasan belukar, kira-kira 500 meter dari lokasi kali terakhir dia dilihat.
“Lelaki itu kemudiannya dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Kundu Suasa dan disahkan berada dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3 petang.






