KOTA BELUD: Seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dilaporkan hilang ketika keluar menjala ikan di sebatang sungai berhampiran Kampung Rajunah, di sini, semalam.
Mangsa ditemukan orang awam kira-kira jam 7.30 pagi tadi dalam keadaan jala ikan tersangkut pada badannya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis berhubung kehilangan mangsa pada jam 10.54 malam tadi.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat ahli keluarga, mangsa dipercayai keluar dari rumah dengan membawa jala ikan menuju ke sungai kira-kira jam 5.30 petang.
“Sepasukan lapan anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 12 kilometer dari balai dan tiba pada jam 11.07 malam.
“Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan teknik pencarian permukaan (Surface Search) di sepanjang tebing sungai, namun keadaan gelap menyukarkan usaha pencarian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Elge berkata, operasi pencarian ditangguhkan pada jam 12.20 tengah malam selepas pasukan penyelamat gagal menemukan sebarang petunjuk mengenai keberadaan mangsa mahupun barangan yang dibawanya.
Bagaimanapun, katanya, pihak bomba menerima maklumat bahawa mangsa ditemukan orang awam kira-kira jam 7.30 pagi sebelum operasi pencarian disambung semula.
“Mangsa dipercayai lemas ketika menjalankan aktiviti menjala ikan dan ditemukan dalam keadaan jala tersangkut pada badannya.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi yang turut membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.45 pagi tadi.






