LONDON – David de Gea dan Jesse Lingard menjadi wira Manchester United apabila membolehkan kelab itu menang 2-1 ke atas West Ham dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di sini, malam tadi.
De Gea yang berjaya menepis sepakan penalti minit akhir Mark Noble selepas dia sebelum ini dibayangi reputasi kadar penyelamatan penaltinya yang rendah, namun kali ini De Gea memastikan tangannya berjaya membawa 3 mata ke Old Trafford.
Pada perlawanan malam tadi, jaringan gol Said Benrahma menjadikan West Ham mendahului jaringan 1-0 pada minit ke-30 selepas percubaan Said Benrahma itu terbias Raphael Varane dan gagal diselamatkan de Gea.
Cristiano Ronaldo bagaimanapun yang kekal bersemangat juang tinggi berjaya meledak gol penyamaan 5 minit selepas itu walaupun percubaan pertamanya diselamatkan Lukasz Fabianski.
Gol ini juga menunjukkan Ronaldo berjaya menjaringkan gol setiap kali turun bermain untuk Manchester United sejak menyertai ‘The Red Devils’ pada musim ini.
Ole Gunnar Solskjaer menunggu sehingga perlawanan berbaki 15 minit untuk menambah sengat di bahagian serangan dan percaturan akhirnya memasukkan Jesse Lingard.
Kemasukan Jesse Lingard telah mengubah permainan dan akhirnya ternyata memberikan magisnya dengan melakukan gol lencongan cantik sekaligus menjadi gol kemenangan untuk kelab itu.
Walau bagaimanpun, Lingard tidak meraikan gol tersebut tanda menghormati penyokong West Ham.