KOTA KINABALU, SABAH – Trend kes COVID-19 baharu Sabah dilihat kembali meningkat dengan pertambahan 41 kes berbanding kelmarin.
Jurucakap perkembangan hal berkaitan COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kebanyakkan daerah di Sabah mengalami pertambahan yang menyebabkan jumlah hari ini “melambung tinggi” kepada catatan 526 kes.
“Antara daerah yang mencatatkan pertambahan kes yang ketara ialah Kota Marudu (+27), Beaufort (+33), Papar (+23), Telupid (+22) dan Tambunan (+12)…
“Kota Kinabalu turun 60 kes, tetapi kekal penyumbang utama kepada kes harian di Sabah dengan 101 kes.
“Kes harian di Tuaran juga menurun dengan banyak (-43) kepada 19 kes dan Ranau turun 14 kes kepada 19,” jelasnya.
Menurut beliau, kes sporadik atau kes saringan bergejala kekal tinggi pada hampir 41 peratus (41%) berbanding 52 peratus (52%) bagi kes kontak rapat.
Katanya statistik ini membimbangkan kerana ia cerminan kepada sikap alpa dan lalai keatas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh sebahagian masyarakat.
“Mereka yang sudah lengkap divaksin juga merupakan kumpulan terbesar kes jangkitan baharu setiap hari…
“Vaksin tidak memberi kita perlindungan 100%. Sikap kita adalah pelengkap kepada pertahanan daripada jangkitan,” tegasnya lagi.
Sebanyak 515 atau 98 peratus kes hari ini adalah tidak kronik iaitu dalam Kategori 1 dan 2. Tiga (3) pesakit berada dalam Kategori 3, empat (4) pesakit dalam Kategori 4 dan seorang pesakit dalam Kategori 5. Tiga (3) kes lagi masih dalam penilaian.
Beliau berkata setakat Ahad, kadar kebolehjangkitan atau R0 bagi Malaysia ialah 1.0 tetapi bagi Sabah, kadar ini telah naik melepasi 1.0 kepada 1.01.
“Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan telah memberi peringatan kepada semua rakyat agar sentiasa berwaspada bagi mengelak berlaku satu lagi pandemik yang serius seperti yang berlaku sebelum ini…
“Sikap kita penentu utama kepada kejayaan kita melawan jangkitan virus COVID-19,” beliau berkata.
Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (23 Nov) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):
Kota Kinabalu – 101 (161)
Kota Marudu – 54 (27)
Beaufort – 49 (16)
Papar – 41 (18)
Penampang – 32 (26)
Telupid – 25 (3)
Keningau – 23 (17)
Ranau – 19 (33)
Tuaran – 19 (62)
Tenom – 18 (11)
Kudat – 18 (9)
Kota Belud – 18 (23)
Putatan – 17 (18)
Sandakan – 16 (7)
Sipitang – 16 (5)
Tambunan – 15 (3)
Kuala Penyu – 12 (11)
Tongod – 10 (5)
Pitas – 6 (0)
Beluran – 4 (4)
Lahad Datu – 4 (6)
Kinabatangan – 4 (1)
Nabawan – 2 (1)
Tawau – 2 (12)
Semporna – 1 (2)
Kunak – 0 (4)
Kalabakan – 0 (0)