KUALA LUMPUR – Dua rakyat Malaysia dipercayai antara 13 militan yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Filipina di Marawi Mindanao, baru-baru ini.
Pertempuran itu berlaku apabila pasukan keselamatan Filipina menyerbu Marawi untuk memburu pemimpin Kumpulan Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, serta kumpulan ‘Maute’, yang mempunyai kaitan dengan IS atau ‘Daesh’.
Bercakap pada sidang akhbar di Bandar Davao, Ketua Pendakwa Raya Filipina, Jose Caloda dipetik sebagai berkata: enam rakyat Malaysia dan Indonesia adalah antara militan yang ditembak mati semalam dalam pertempuran yang berlarutan sejak tiga hari lalu di Bandar Marawi, iaitu tempat tentera berusaha mengusir anggota ‘Maute’, kumpulan militan yang ada ikatan dengan IS atau ‘Daesh’.
“Sebelum ini, ia hanya kumpulan pengganas tempatan. Tetapi kini mereka sudah menerapkan ideologi Daesh. Mereka mahu menjadikan Mindanao sebahagian daripada negara Khalifah,” katanya.
Berhubung dengan insiden itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik sebagai berkata mengesahkan dua lelaki Malaysia yang terbunuh selepas beliau diminta untuk membuat ulasan laporan berkenaan dua rakyat Malaysia antara 13 militan yang terbunuh di Marawi.
Memetik kenyataan Harian Ekspres, “saya telah berbincang dengan Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) dan kita sedang meneliti butiran penuh walaupun kita telah kenal pasti identiti dan dari mana mereka berasal,” katanya.
Ahmad Zahid turut berterima kasih kepada pihak berkuasa Filipina atas perkongsian maklumat dan kerjasama yang diberikan demi untuk keselamatan Malaysia, Filipina dan juga Indonesia.
“Bukan sahaja daripada Filipina, tetapi apa sahaja yang berlaku di Indonesia, kita juga berkongsi maklumat itu dan tindakan dilakukan berdasarkan maklumat yang tepat dan benar”, tambah katanya.
Bagi tujuan keselamatan Malaysia khusunya di Sabah dan Sarawak, PDRM bersama-sama dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Polis Sabah telah diarahkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga serta memperketatkan kawalan keselamatan perairan Negara.