PUTATAN, SABAH – Sekurang-kurangnya 500 pelajar Sabah akan mengikuti tajaan penuh Program Pendidikan Dan Latihan Vokasional (TVET) di negara China.
Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, baru-baru ini beliau ditawarkan oleh negara tersebut melalui Malaysia-China Institute (MCI) untuk menghantar seramai 2,000 pelajar Malaysia bagi mengikuti program TVET dengan biasiswa penuh.
“Daripada 2,000 tempat tersebut sekurang-kurangnya 500 pelajar TVET mesti datang dari negeri ini.
“Saya yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara akan memastikan generasi muda di negeri ini akan terus diberikan pendidikan TVET supaya pelabur luar dan dalam negeri yang memerlukan tenaga mahir boleh menawarkan peluang tersebut kepada anak-anak muda Sabah.
“Ketika ini terdapat 1,345 institusi TVET di seluruh negara yang mana GiatMARA merupakan antara institusi latihan TVET yang diberi kepercayaan untuk menarik minat golongan belia menyertai bidang TVET sebagai sumber tenaga kerja mahir negara,” katanya ketika merasmikan Sambutan Aidilfitri UMNO Bahagian Putatan pada malam Sabtu.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan bahawa Sabah telah memperlihatkan potensi besarnya dengan menerima kemasukan pelaburan asing sebanyak RM11 bilion pada tahun lalu.
“Ini menunjukkan adanya keyakinan pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara terhadap potensi negeri Sabah.
“Oleh itu, peluang dan kesempatan ini harus direbut oleh kita untuk meningkatkan pembangunan ekonomi negeri terutama bagi menjana peluang pekerjaan kepada golongan muda,” ujarnya.
Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Jafry Ariffin dan Ketua UMNO Bahagian Putatan Jeffrey Nor Mohamed. — JABATAN PENERANGAN SABAH