KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedang menyiasat tindakan beberapa pelajarnya yang didakwa menyalahgunakan logo dan identiti universiti dalam penyebaran kandungan berkaitan isu sensitif di media sosial, termasuk di bawah nama “Suara Mahasiswa”, dengan tindakan lanjut akan diambil mengikut peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Naib Canselor UMS, Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pihak universiti memandang serius perbuatan tersebut kerana ia berpotensi menjejaskan reputasi institusi serta menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
“UMS memandang sangat serius terhadap salah guna logo universiti. Kita tidak mahu institusi ini dikaitkan dengan apa-apa isu sensitif yang boleh memberi impak negatif kepada masyarakat. UMS adalah sebuah gedung ilmu dan tidak terlibat dengan sebarang kepartian politik,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Ahad.
Menurutnya, penggunaan logo UMS secara tidak sah, termasuk dalam hantaran media sosial yang membawa naratif tertentu, merupakan satu kesalahan, lebih-lebih lagi apabila ia dikaitkan dengan isu yang boleh menimbulkan kekeliruan atau ketidakharmonian.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihak universiti telah mengambil langkah awal dengan meneliti aspek perundangan serta kaedah tindakan yang boleh diambil di bawah AUKU.
“Proses ini telah pun dikendalikan oleh bahagian perundangan universiti dan tindakan undang-undang selanjutnya akan dibuat. UMS tidak akan berdiam diri dalam perkara ini,” tegasnya.
Terdahulu, beberapa penuntut UMS didapati tampil menggunakan nama “Suara Mahasiswa” serta logo universiti dalam hantaran media sosial yang menyentuh isu berkaitan golongan ”stateless’ dan kes penangkapan seorang lelaki tanpa dokumen pengenalan diri.
Kumpulan tersebut turut mendakwa individu terbabit merupakan pelajar di sebuah sekolah alternatif di bawah kendalian mereka, sekali gus mencetuskan perhatian dan perdebatan dalam kalangan masyarakat.
Dr. Kasim menegaskan, UMS tidak terlibat dengan mana-mana gerakan atau kenyataan yang membawa isu berkenaan, dan tindakan tegas perlu diambil bagi melindungi nama baik universiti.
“Kita tidak mahu nama UMS tercemar. Tindakan ini penting untuk memastikan universiti kekal dihormati sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang bebas daripada sebarang isu negatif,” katanya.






