Penduduk Kampung Muhibbah Lama Putatan Bantah Projek Kondominium 12 Tingkat

Penduduk Kampung Muhibbah Lama Putatan Bantah Projek Kondominium 12 Tingkat

0
SHARE

PUTATAN: Lebih 100 penduduk Kampung Muhibbah Lama di sini membantah keras projek pembinaan kondominium 12 tingkat yang sedang dijalankan di kawasan kampung mereka, dengan alasan kebimbangan terhadap kesesakan trafik, risiko banjir serta tiada rundingan awam dijalankan.

Projek pembangunan itu dipercayai sedang dibina di atas tanah persendirian seluas kira-kira dua ekar yang turut menempatkan rumah-rumah penduduk sejak tahun 1970-an.

Penduduk tersebut mendakwa hanya menerima notis pengusiran baru-baru ini selepas kerja-kerja pembersihan tanah dimulakan.

Lima rumah dilaporkan terjejas secara langsung, namun penduduk menegaskan kesan rantaian projek itu akan turut melibatkan kawasan perumahan berhampiran seperti Taman Jumbo, terutama dari segi aliran trafik dan kesan terhadap alam sekitar.

Seorang penduduk terjejas, Sharif Aeman Azahari, 25, berkata keluarganya yang terdiri daripada lebih 20 orang telah mendiami tanah tersebut sejak beberapa generasi.

“Saya lahir di sini. Kami jaga rumah ini bertahun-tahun. Tapi sekarang tiba-tiba diminta keluar tanpa sebarang pampasan atau tawaran penempatan alternatif,” katanya.

Menurutnya, pemaju yang dipercayai berpangkalan di Sarawak, telah memulakan kerja pada bulan lalu dan mengeluarkan notis 30 hari kepada penduduk terlibat – kali pertama mereka dihubungi oleh pihak projek.

“Kami tahu tanah ini berpindah milik sejak 2010, tapi tiada sebarang perbincangan atau usaha untuk cari jalan tengah. Kami sanggup berpindah jika perlu, tapi biarlah dengan cara yang adil dan berperikemanusiaan,” katanya lagi.

Bapanya, Sharif Sarip, 70, mendedahkan tanah itu dahulunya dimiliki seorang lelaki Sikh yang membenarkan mereka tinggal di situ tanpa sebarang halangan.

Perhimpunan aman pada Khamis yang diketuai wakil kampung, Kanny Chew, turut mempersoalkan kelulusan projek tersebut memandangkan kawasan itu terletak dalam zon merah lapangan terbang, yang sepatutnya mempunyai kekangan dari segi keselamatan penerbangan.

“Kami tidak menolak pembangunan, tapi biarlah dengan rundingan yang telus. Kami mahu tahu bagaimana projek 12 tingkat ini boleh diluluskan di kawasan zon merah,” katanya.

Beliau berkata projek tiga tahun itu telah menerima kelulusan daripada beberapa agensi termasuk pihak berkuasa tempatan dan jabatan bomba.

“Sekurang-kurangnya lima rumah akan dirobohkan, dan hingga 30 rumah lain mungkin terjejas. Beberapa rumah sudah mula menunjukkan kerosakan struktur semasa kerja cerucuk dijalankan, termasuk bumbung tercabut.

“Ada penduduk terima ugutan tindakan undang-undang jika tidak keluar segera, tanpa sebarang notis rasmi terdahulu. Sepatutnya ada sekurang-kurangnya tiga notis formal,” katanya.

Menurut Kanny, satu surat bantahan rasmi sedang disediakan untuk dihantar kepada pihak berkuasa, termasuk majlis daerah dan Ketua Menteri.

“Kami gesa satu mesyuarat tergempar bersama semua pihak berkepentingan termasuk Ahli Parlimen, pihak majlis tempatan dan penduduk terjejas bagi mencari penyelesaian menang-menang,” katanya.

Ketua UMNO Putatan, Jeffrey Nor, yang turut hadir menyatakan bahawa pasukan perundangannya sedang meneliti isu ini, memandangkan tanah tersebut merupakan kawasan terkepung (landlocked) dan akan memburukkan lagi kesesakan lalu lintas apabila projek siap kelak.

“Penduduk juga risau risiko banjir, kerana tapak projek lebih tinggi daripada kampung. Air hujan boleh melimpah masuk ke kawasan rumah, selain soal privasi yang akan terjejas,” katanya.