KOTA KINABALU: Aplikasi Sabah Smart Parking (SSP) kini kembali beroperasi sepenuhnya selepas mengalami gangguan perkhidmatan sejak beberapa hari lalu, dengan pengguna yang masih berdepan masalah teknikal diminta menghubungi pasukan khidmat pelanggan untuk tindakan lanjut.
Sabah Smart Parking menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini memaklumkan perkhidmatan aplikasi berkenaan telah dipulihkan, namun mengakui masih terdapat sebahagian pengguna yang mungkin berdepan isu tertentu ketika menggunakan aplikasi itu.
“Kami memahami bahawa sesetengah pengguna mungkin masih mengalami isu tertentu dan memerlukan bantuan lanjut.
“Pasukan khidmat pelanggan kami komited untuk meneliti setiap maklum balas yang diterima dan akan membantu sebaik mungkin mengikut keperluan semakan.
“Sila hubungi kami melalui platform mesej rasmi kami dengan butiran isu aplikasi yang dihadapi bagi memudahkan semakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Sabah Smart Parking turut merakamkan penghargaan kepada pengguna atas kesabaran, pemahaman dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh gangguan, selain memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami.
Sebelum ini, aplikasi Sabah Smart Parking mengalami gangguan operasi yang menyebabkan beberapa fungsi utama tidak dapat diakses, termasuk pembayaran caj parkir secara digital, semakan dan pembayaran kompaun, pembelian pas parkir bulanan, tambah nilai kredit (top-up) serta akses kepada modul iBersih.
Berikutan gangguan itu, pihak pengurusan memaklumkan tindakan penguatkuasaan dan pengeluaran kompaun parkir oleh pihak berkuasa tempatan tidak akan dilaksanakan sepanjang tempoh aplikasi tergendala bagi mengelakkan pengguna terjejas.






