LONDON – Perkhidmatan media sosial Facebook, WhatsApp dan Instagram mengalami sekali lagi satu gangguan besar selama hampir enam jam sejak semalam (Isnin).
BBC melaporkan, ketiga-tiga perkhidmatan yang dimiliki syarikat gergasi Facebook itu tidak dapat diakses melalui web atau pada aplikasi telefon pintar.
Downdetector, yang mengesan perkara itu, mencatat puluhan ribu laporan gangguan untuk ketiga-tiga paltform berkenaan di seluruh dunia.
Difahamkan daripada pengguna, sebilangan perkhidmatan masih belum berfungsi sepenuhnya. Sebagai contoh, beberapa pengguna masih melaporkan masalah menyiarkan kandungan baru ke Instagram.
“Kepada komuniti besar orang dan perniagaan di seluruh dunia yang bergantung kepada kami: kami minta maaf…
“Kami telah bekerja keras untuk memulihkan akses ke aplikasi dan perkhidmatan kami dan dengan senang hati melaporkan mereka kembali dalam talian sekarang. Terima kasih kerana menanggung kami,” kata Facebook dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi pengguna ketiga-tiga perkhidmatan itu di Sabah pula, aplikasi WhatsApp dan Facebook hanya berjaya diakses sepenuhnya lebih kurang pada jam 7.00 pagi tadi.
Dalam pada itu, pengguna media sosial sejak semalam telah ‘berkumpul’ di Twitter sebagai reaksi terhadap gangguan perkhidmatan Facebook, Instagram dan WhatsApp selama hampir enam jam.

Untuk rekod, kali terakhir Facebook mengalami gangguan adalah pada 2019.
Ketika itu, Facebook dan aplikasinya yang lain tidak dapat diakses di seluruh dunia selama lebih 14 jam.