TAMBUNAN: Usaha memperkukuh pembelajaran digital di sekolah luar bandar terus diperkasa apabila murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Namadan kini berpeluang menikmati pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan menarik menerusi sumbangan sebuah iBoard serta 35 unit Chromebook.
Kemudahan pembelajaran digital itu disumbangkan oleh Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan, Datuk Victor P. Paut, sebagai sokongan kepada usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah berkenaan.
iBoard merupakan papan putih digital yang menggabungkan fungsi televisyen, komputer dan papan putih dalam satu peranti, sekali gus membolehkan guru memaparkan bahan pembelajaran, memainkan video, melayari internet serta menulis secara terus pada skrin menggunakan jari atau pen digital.
Sebanyak 35 unit Chromebook yang turut disumbangkan berfungsi sebagai peranti sokongan yang dihubungkan secara serentak dengan iBoard bagi memudahkan pelaksanaan aktiviti pembelajaran digital di dalam bilik darjah.
Jurucakap SK Kuala Namadan berkata, penggunaan iBoard dijangka menjadikan sesi pengajaran lebih menarik, interaktif dan mudah difahami oleh murid.
Menurutnya, kemudahan itu amat bermanfaat khususnya kepada sekolah luar bandar kerana memberi peluang kepada murid menikmati pengalaman pembelajaran digital yang lebih berkualiti serta seiring dengan perkembangan teknologi pendidikan.
“Pihak sekolah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Victor P. Paut atas sumbangan iBoard dan Chromebook kepada SK Kuala Namadan.
“Sumbangan tersebut telah diserahkan oleh Encik Ben Adner dan Puan Farah yang mewakili beliau bagi tujuan pemasangan serta ujian sistem,” katanya.
Sementara itu, Victor berkata beliau berharap kemudahan berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga sekolah sebagai pemangkin kepada peningkatan mutu pendidikan.
Katanya, pelaburan dalam pendidikan, khususnya dalam penyediaan kemudahan digital, merupakan langkah penting bagi melahirkan generasi yang berilmu, kreatif dan celik teknologi.
“Keutamaan perlu diberikan kepada anak-anak di peringkat persekolahan supaya mereka mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan era digital serta menjadi modal insan yang berdaya saing pada masa hadapan,” katanya.






