KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan GRS-BN Negeri Sabah akan berbincang dengan Persekutuan berkenaan penggantungan projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Serudong, Tawau yang akan bersempadan dengan ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur nanti.
Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof baru-baru ini mengumumkan penggantungan projek bernilai RM 600 juta itu atas alasan “kekurangan dana”.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin antara pemimpin Sabah yang pertama bersuara.
Beliau menggambarkan keputusan itu sebagai “mengejutkan” selain alasan kekurangan dana tersebut tidak boleh diterima.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor manakala berkata CIQS merupakan projek yang cukup penting bagi Sabah dan ianya tidak boleh ditangguhkan dengan pemindahan ibu negara baharu Indonesia yang sedang berlangsung.
“Kerana kita bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia dan sebagainya, CIQS ini amat penting bagi Sabah sebagai satu laluan yang kita boleh gunakan.
“Ia supaya mereka (warga asing) boleh masuk ke Sabah melalui Tawau (secara sah dan terkawal)…
“Kalau lambat buat ini nanti mereka masuk ikut jalan tikus jadi susah kita kawal.
“Kita akan sampaikan kepada Kerajaan Persekutuan supaya mempertimbangkan dan memberi keutaamaan lepada pelaksanaan program ini,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Sambutan Setahun Hala Tuju Sabah Maju Sabah (SMJ) Pelan Pembangunan SMJ 1.0 (2021-2025) di Sabah International Convention Centre (SICC), sini, hari ini.
Katanya sejak SMJ dilaksanakan pada tarikh ini tahun lalu, pelbagai insentif dan projek telahpun dilaksanakan oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah dan Barisan Nasional.
“Ini yang kita harapkan, semua Kementerian dan Jabatan serta pegawai-pegawai kerajaan dapat memastikan Hala Tuju SMJ akan berjaya dan dapat dilaksanakan mengikut panduan yang telah kita tetapkan…
“SMJ adalah satu hala tuju bagi Sabah dan panduan gerak kerja bagi membangunkan negeri Sabah dan rakyatnya yang tercinta,” katanya.