KUDAT: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah, telah telah memulakan Jelajah Iftar 2025 semalam di Dewan Tun Mustapha, Kudat.
Dalam jelajah itu, juadah iftar telah diagihkan kepada golongan asnaf; warga emas; orang kurang upaya (OKU); ibu tunggal; anak yatim piatu; dan golongan B40 di Banggi, Bengkoka, Pitas, dan Tanjong Kapor.
KTC dan UPPM dalam satu kenyataan berkata, inisiatif ini bertujuan menyantuni golongan kurang berkemampuan di 25 kawasan Parlimen di Sabah.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau, merupakan seorang peguam yang telah membina kerjaya cemerlang dalam bidang undang-undang sebelum beralih kepada dunia perniagaan.
Dengan lebih 25 tahun pengalaman dalam menguruskan perniagaan, beliau telah menunjukkan kebolehan kepimpinan luar biasa yang membolehkan syarikat berkembang secara mampan serta mencapai rekod prestasi korporat yang cemerlang.
Kepakaran beliau dalam strategi korporat, pengurusan risiko, dan inovasi telah menjadikan beliau seorang pemimpin yang disegani dalam industri.
Jelajah Iftar 2025 pada hari pertama itu turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor, Datuk Ben Chong dan isteri; Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin Tang; pemimpin masyarakat; pegawai kerajaan tempatan, eksekutif KTC; dan wakil UPPM.
“Program ini bukan sahaja mengukuhkan ikatan kemasyarakatan, malah mencerminkan komitmen KTC dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat,” kata mereka dalam kenyataan, semalam.
Sementara itu, Ben Chong turut mengucapkan terima kasih kepada pihak UPPM dan KTC kerana mengadakan Majlis Iftar yang amat bermakna itu.
“Program ini sangat memberi manfaat golongan kurang berkemampuan di Kudat, seterusnya mengukuhkan perpaduan dan persahabatan antara pelbagai kaum,” katanya.
Seramai 400 orang hadir ke Majlis Iftar semalam dan 40 orang menerima sumbangan wang saku Raya dari Jetama Water Sdn Bhd.
Mengenai Kim Teck Cheong: KTC ialah pengedar terkemuka dan menyediakan penyelesaian FMCG (Fast Moving Consumer Goods) di Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1938, KTC yang beribu pejabat di Kota Kinabalu, Sabah, terus komited dalam membekalkan produk berkualiti tinggi dan perkhidmatan pengedaran yang cekap kepada masyarakat.
Untuk maklumat lanjut mengenai Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, sila layari https://kimteckcheong.com/ atau ikuti laman Facebook: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad.