Lelaki Cedera Diserang Guna Pisau Oleh Penganggur Warga Asing di Bangunan Sabindo,...

Lelaki Cedera Diserang Guna Pisau Oleh Penganggur Warga Asing di Bangunan Sabindo, Tawau

0
SHARE
TAWAU: Seorang lelaki berusia 20-an dilaporkan mengalami kecederaan selepas diserang menggunakan sebilah pisau oleh seorang penganggur warga asing dalam satu kejadian di bilik sewa bangunan Sabindo baru-baru ini.

Polis Tawau dalam satu kenyataan memaklumkan, serangan itu berlaku akibat daripada salah faham dan mangsa mengenali suspek.

“Akibat serangan itu, mangsa telah mengalami luka di bahagian muka dan jari selain suspek turut merampas beg sandang milik pengadu mengandungi beberapa barang peribadi sebelum pengadu tampil di balai polis untuk membuat laporan.

“Susulan laporan yang dibuat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Tawau telah menjalankan operasi bagi mengesan dan menahan suspek di kawasan Sabindo.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek merupakan penganggur warganegara asing berusia 20an dan memiliki rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya, semalam.

Dalam pada itu, polis turut merampas sebilah pisau disyaki barang kes terlibat.

Suspek dan barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.