KOTA KINABALU: Seorang lelaki cedera di bahagian tulang belakang dan mengalami sesak nafas, manakala seorang lagi cedera ringan selepas sebuah rumah atas air jenis tidak kekal di Kampung Tanjung Aru Lama, berhampiran Masjid Al-Kauthar, roboh pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.47 pagi.
Susulan itu sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dikerahkan ke lokasi kejadian, kira-kira tiga kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK I Christy Foo berkata, rumah berkeluasan 25×40 kaki itu runtuh di bahagian belakang yang diperbuat daripada konkrit.
“Dua mangsa lelaki berusia 44 tahun ketika itu berada di dalam rumah semasa kejadian.
“Mangsa pertama mengalami kecederaan pada tulang belakang dan sesak nafas, manakala mangsa kedua luka di bahagian kepala dan kaki. Kedua-duanya diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi turut dibantu dua pegawai kanan Zon 1 Sabah, PKPgB Mohd Rashid bin Daud dan PPgB Riki Mohan Singh Ramday bersama anggota PDRM dan KKM.
Pemeriksaan keselamatan turut dilakukan bagi memastikan tiada risiko bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.22 pagi.






