IMIGRESEN THAILAND TANGKAP NUR SAJAT – PDRM

IMIGRESEN THAILAND TANGKAP NUR SAJAT – PDRM

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat dilaporkan telah ditahan dan ditangkap oleh pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu.

Perkara berkenaan usahawan kosmetik yang telah lama diburu itu disahkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan yang menyatakan Nur Sajat ditangkap oleh pihak imigresen Thailand pada pukul 6 petang 8 September lalu atas kesalahan memiliki pasport yang tidak sah.

Menurut sumber yang dipetik Harian Metro, Nur Sajat, 36, bersama seorang lagi lelaki berperwatakan wanita warga Thailand turut ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok.

Sumber itu turut memaklumkan, Nur Sajat kemudiannya dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara itu.

“Pada 9 September atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Nur Sajat bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan…

“Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat,” katanya.

Difahamkan juga, pihak berkuasa Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Thailand untuk membawa pulang Nur Sajat ke negara ini.

“Usaha membawanya pulang untuk menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor atas kesalahan berpakaian wanita yang dilakukannya di Shah Alam pada tahun 2018 itu sedang berlangsung…

“Rundingan agak sukar tetapi kita tetap optimis untuk membawanya pulang. Sukar disebabkan ada campur tangan pihak antarabangsa membabitkan negara dan pertubuhan tertentu yang menghalangnya,” katanya.

Mahkamah Tinggi Syariah pada 23 Februari lalu, mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Sajat kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu.