LPKP Gesa Lebih Ramai Pemandu Daftar Diri Divaksin

LPKP Gesa Lebih Ramai Pemandu Daftar Diri Divaksin

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah hanya menerima sejumlah 7846 senarai nama pengendali pengangkutan awam di Sabah untuk pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat ini.

Menurut Pengerusi LPKP Sabah, Dato’ Chin Kim Hiung, jumlah itu masih agak rendah berbanding jumlah keseluruhan pengendali pengangkutan awam yang berdaftar dengan LPKP Sabah iaitu sebanyak 17,607 orang.

“Daripada jumlah keseluruhan yang telah mendaftar untuk suntikan vaksin, hanya pengendali e-hailing yang telah menghantar senarai penuh iaitu sebanyak 7766 orang, manakala bagi pemandu bas, hanya 31 daripada 4693 pengendali dan bagi pemandu teksi hanya 49 daripada 5148 orang telah mendaftar…

“Sehubungan itu, saya menyeru kepada pemandu teksi dan bas agar mendaftar menerusi Facebook Lembaga Pelesenan Kenderaan Sabah seperti yang diumumkan sebelum ini kerana senarai nama ini akan dihantar kepada Kementerian Pengangkutan untuk dimajukan kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah LPKP Sabah yang baharu dilantik, Norsiah Patah baru-baru ini.

Dato’ Chin Kim Hiung…

Mengenai perlantikan Norsiah, Chin berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana melantik pengarah yang berpengalaman untuk menerajui LPKP Sabah sambil turut memberi penghargaan kepada pengarah sebelum ini.

“Hasil pertemuan saya dengan Pengarah LPKP Sabah yang baharu menunjukkan beliau seorang yang sangat pro-aktif serta berpandangan jauh berdasarkan kepada pengalaman beliau menjawat pelbagai jawatan utama selama 18 tahun di Kementerian Pelancongan (MOTAC) di peringkat persekutuan,” tambah beliau.

Sementara itu, Chin turut menyambut baik pengumuman kerajaan untuk melanjutkan had usia penggunaan kenderaan perkhidmatan awam secara automatik selama setahun menerusi seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan baru-baru ini.

“Langkah ini menunjukkan kerajaan amat prihatin dengan kesukaran yang dihadapi oleh pengendali pengangkutan awam dan berusaha sedaya mungkin untuk memulihkan sektor ini yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19,” katanya.