ADUN Matunggong Harap Bekalan Vaksin Diberikan Mencukupi 

ADUN Matunggong Harap Bekalan Vaksin Diberikan Mencukupi 

0
SHARE
Datuk Julita Majungki bergambar bersama penduduk setempat selepas menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Matunggong...

KUDAT, SABAH – Sebanyak 1,060 dos pertama dan 1,052 dos kedua suntikan vaksin COVID-19 telah diberikan kepada penduduk di daerah kecil Matunggong dekat sini setakat ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki berkata Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Matunggong kini masih dalam proses untuk memberi vaksin kepada penduduk yang berusia 60 tahun dan ke atas.

“Kita berharap usaha dan gerakan ini boleh selesai dalam tempoh yang ditetapkan,” kata Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat itu dalam kenyataan media hari ini.

Beliau juga telah berkunjung ke PPV Matunggong untuk melihat pelaksanaan program vaksinasi pada hujung minggu.

Datuk Julita Majungki bersama para petugas barisan hadapan (frontliners) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Matunggong…

Julita yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) turut mengalu-alukan pengumuman Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengenai penghantaran 2.2 juta dos vaksin ke negeri ini pada bulan ini dan Ogos untuk mempercepatkan proses pemberian vaksin dan mencapai imuniti kelompok di negeri ini pada hujung tahun.

“Saya yakin dengan agihan baru kepada semua kawasan, kita boleh menambah bilangan penerima vaksin…

“Dengan ini, sasaran untuk membentuk imuniti kelompok akan dapat dicapai dengan lebih cepat. Kita juga berharap pembukaan sektor ekonomi yang masih belum dibenarkan seperti tamu mingguan dapat dilakukan dalam tempoh yang terdekat,” katanya.

Beliau juga berharap agar penduduk terutamanya di daerah kecil ini akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk kebaikan diri sendiri, keluarga dan komuniti.