SPRM Sabah Tahan Ketua Pembantu Tadbir Terima Rasuah Lebih RM24,000

SPRM Sabah Tahan Ketua Pembantu Tadbir Terima Rasuah Lebih RM24,000

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KOTA KINABALU, SABAH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang ketua pembantu tadbir di sebuah jabatan kerajaan bagi membantu siasatan berhubung kes penerimaan rasuah berjumlah lebih RM24,000.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 52 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu kira-kira jam 2.30 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, suspek disyaki menggunakan jawatannya untuk mendapat suapan bagi dirinya dengan mengemukakan invois sebuah syarikat yang mana pemilik syarikat tersebut mempunyai kaitan dengan dirinya.

Bagaimanapun, suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pengarah SPRM Sabah, S.Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, Sabah, esok (15 Julai).

Sementara itu dalam kes berasingan, SPRM Sabah turut menahan seorang individu berusia 54 tahun kerana disyaki memperdaya seorang wanita dengan memperoleh wang tunai berjumlah kira-kira RM1,000.

Suspek lelaki yang bekerja sebagai peniaga itu ditahan kira-kira jam 2 petang semalam di pejabat sama selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, suspek yang merupakan wakil ketua Anak Negeri telah memperdaya seorang wanita untuk mempercayai dirinya bahawa boleh membantu mengeluarkan sijil daftar lewat kelahiran serta kad pengenalan wanita tersebut dan adiknya dengan membayar wang tersebut.

Suspek kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pengarah SPRM Sabah, S.Karunanithy ketika dihubungi turut mengesahkan perkara tersebut berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan.

Suspek tersebut juga akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau esok.