
LABUAN – Mayat dua remaja lelaki yang keluar memancing menaiki sampan pada sekitar enam pagi Isnin di perairan Kiamsam ditemui pada waktu petang.
Mangsa dikenali sebagai Yasin Johnar, 20, berbangsa Bajau dan Mohammad Shah, 19, berbangsa Suluk.
Menurut Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh, laporan polis dibuat oleh ibu mangsa.
“Bantuan awal penduduk kampung dilakukan bagi mengesan kedua-dua mangsa berkenaan namun gagal.
“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di Jeti Kastam, Kiamsam untuk mengkoordinasikan operasi mencari dan menyelamat bersama agensi sahabat dan komuniti maritim.
“Bot Kilat 40 milik Maritim Malaysia telah ditugaskan untuk ke lokasi kejadian untuk pencarian awal dengan kawasan pencarian meliputi keluasan empat batu nautika persegi sekitar perairan pantai Kiamsam.
“Penemuan mayat pertama anggaran posisi 0.5 batu nautika dari Pantai Kiamsam dibuat sekitar pukul 5.20 petang semalam.
“Lokasi penemuan mayat kedua pula dijumpai lebih kurang 10 meter dari mayat pertama pada pukul 5.22 petang,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Nudin berkata kedua-dua mayat mangsa ditemui oleh bot nelayan tempatan yang dibawa oleh pihak bomba.
“Keluarga mangsa telah dihubungi bagi proses pengecaman dan kedua – dua mayat telah dibawa oleh pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” tambahnya.