Oleh: Mirlen Axtius
TANJUNG ARU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menegaskan komitmen utuhnya bersama rakyat apabila menyatakan keyakinan bahawa pengundi di Tanjung Aru kekal selesa dan setia bersama parti tempatan yang sentiasa bekerja untuk kebajikan mereka.
Ahli Jawatankuasa PGRS Tanjung Aru, Dr Ritchie Jay Cheng, berkata demikian ketika mengulas mengenai hasrat sebuah parti luar untuk bertanding di DUN Tanjung Aru pada Pilihan Raya Negeri ke-17 akan datang.
Menurutnya, sejarah membuktikan bahawa DUN Tanjung Aru secara konsisten dimenangi oleh parti tempatan, cerminan kepercayaan mendalam rakyat terhadap kepimpinan tempatan yang memahami kehendak dan keperluan mereka.
“PGRS Tanjung Aru mempunyai lebih 90 cawangan aktif dan rangkaian akar umbi yang kukuh di seluruh kawasan ini. Kami sentiasa bergerak mendekati rakyat melalui program kebajikan, menyelesaikan isu setempat dan menjadi suara mereka di setiap peringkat,” katanya ketika menyampaikan sumbangan bahan binaan untuk membaiki jambatan di Sembulan dan Pulau Gaya.
Dr Ritchie menegaskan, walaupun menghormati hasrat mana-mana parti untuk bertanding, namun mandat sebenar tetap terletak di tangan rakyat yang sudah lama bersama PGRS.
“Fokus kami tidak tertumpu kepada musim pilihan raya semata-mata. Kami hadir bersama rakyat setiap masa. Rakyat tahu siapa yang benar-benar bekerja, bukan hanya muncul ketika perlu undi,” tambahnya.
Beliau optimis bahawa rakyat Tanjung Aru akan terus memberi sokongan kepada parti tempatan yang komited membela nasib mereka secara konsisten.
“Gagasan Rakyat Tanjung Aru kekal dan kukuh bersama parti tempatan,” tegasnya.






