KOTA KINABALU: Seorang lelaki berumur 32 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori kontena di kawasan perindustrian KKIP Timur, pagi tadi.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 11.12 pagi dengan 24 anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas dan Kota Kinabalu tiba di lokasi kejadian pada jam 11.39 pagi.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori kontena 10 tan dan motosikal jenis SYM E Bonus 110.
“Mangsa didapati tersepit di bawah lori dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan kami,” kata seorang pegawai jurucakap agensi melalui kenyataan media.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya setelah operasi disahkan selamat dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.37 tengah hari,” katanya.
Turut hadir di lokasi ialah tujuh anggota polis dan tiga petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.






