KOTA KINABALU: Gabungan cinta, muzik dan emosi bakal menyemarakkan pentas Sabah International Convention Centre (SICC) menerusi Festival Tentang Cinta yang dijadualkan berlangsung pada 9 Ogos 2025.
Konsert berskala besar ini menampilkan bintang popular dari Indonesia, Andmesh dan Ziva Magnolya, selain barisan artis tempatan seperti Hael Husaini, Ara Johari, serta dua anak jati Sabah, Adira dan Mary Grace.
Ziva, yang mula dikenali menerusi Indonesian Idol dan aktif di media sosial, telah meraih pelbagai anugerah muzik serta dikenali menerusi lagu-lagu hit seperti Terlukis Indah dan Peri Cintaku.
Penganjuran konsert ini diterajui oleh Extreme Visionary Venture dengan sokongan Tourism Malaysia, serta kerjasama strategik Fazbuzz Events & Media Sdn. Bhd. dan platform tiket rasmi Ticket2U.
Menurut penerbit konsert, Dato’ Suhaila Semaru, festival ini bukan sekadar hiburan tetapi juga bertujuan memacu industri pelancongan dan mengetengahkan bakat tempatan.
Tiket mula dijual secara atas talian di www.ticket2u.com.my bermula 9 Mei 2025, dengan harga bermula serendah RM158 sehingga RM988 mengikut kategori tempat duduk bertemakan cinta.






