UMS, YIM Bekerjasama Dalam Projek Pencarian Inovasi Berasaskan Bekalan Air Bersih Di...

UMS, YIM Bekerjasama Dalam Projek Pencarian Inovasi Berasaskan Bekalan Air Bersih Di Pitas

0
SHARE
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Harun Durabi (dua dari kiri) dan Dr. Adham Baba, tiga (empat dari kanan) bersama Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Zainal Abidin Abu Hassan (tiga dari kanan) dalam gimik perasmian penyerahan projek bekalan air bersih di Kampung Sapatalang, Pitas kelmarin...

PITAS, SABAH – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) mengadakan Kerjasama dalam Projek Pencarian Inovasi Berasaskan Bekalan Air Bersih di Daerah Pitas, Sabah melibatkan 100 penduduk kampung di kawasan Kampung Sapatalang, Daerah Pitas.

Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Puan Sharmila Mohamed Salleh berkata UMS telah dilantik sebagai rakan kolaborasi strategik bagi melaksanakan projek berkenaan yang bermula sejak 1 Februari sehingga 31 Julai tahun ini, dengan peruntukan sebanyak RM60,000.

Negeri Sabah merupakan negeri yang paling banyak mendapat bantuan dana untuk projek inovasi daripada YIM iaitu sebanyak 32 projek bernilai RM5 juta sehingga tahun 2020.

Sharmila berkata dalam sebuah lawatan kerja ke Kampung Sapatalang kelmarin memberi peluang kepada pihak YIM dan UMS mengenalpasti isu-isu yang dihadapi komuniti di perkampungan tersebut dan kejiranan di persekitaran.

“Sebagai sebuah agensi yang fokus kepada inovasi akar umbi dan B40, YIM berusaha untuk meningkatkan taraf hidup dan kehidupan berkualiti melalui penggunaan teknologi dan pembangunan inovasi sosial…

“Pelaksanaan projek inovasi ini dapat membantu khususnya golongan B40 dan M40 dalam mendepani kesan COVID-19 selain meningkatkan kualiti kehidupan, produktiviti dan membantu mereka memperolehi sumber air yang bersih demi kelangsungan hidup,” katanya.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin pula menjelaskan pasukan projek diketuai oleh penyelidik UMS iaitu Prof. Madya Dr. Jidon Adrian Janaun.

Katanya Dr. Jidon telah membantu komuniti persekitaran Kampung Sapatalang yang menghadapi masalah kemudahan asas dan infrastruktur dengan menggunakan inovasi sumber air utama daripada mata air kampung.

“Selama ini komuniti tersebut bergantung kepada air hujan untuk bekalan air serta sungai dan anak sungai yang terletak jauh dari kawasan rumah,” ujar Taufiq.

Menurutnya lagi, kemudahan telah disediakan di kawasan tadahan mata air iaitu penapis dan tangki simpanan air.

Punca mata air sering tersumbat dengan sampah seperti daun kering dan lumpur yang menutup laluan keluar mata air menyebabkan masyarakat di sini bergantung kepada air hujan untuk bekalan air memandangkan kampung ini terletak agak jauh dari sungai.

Projek Inovasi Air Bersih ini turut ditempatkan di Dewan Masyarakat yang merupakan dewan serbaguna untuk kegunaan penduduk setempat.

Majlis penyerahan Projek Pencarian Inovasi Berasaskan Bekalan Air Bersih di Daerah Pitas, Sabah disempurnakan oleh Dato’ Sri Dr. Adham Baba kelmarin.