
PAPAR, SABAH – Masyarakat digesa menjalani ujian saringan di klinik kesihatan yang berdekatan untuk mengetahui status kesihatan.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Asits Sanna berkata, hampir separuh daripada jumlah pesakit diabetes tidak didiagnosis menyebabkan komplikasi serius sehingga boleh mengancam nyawa.
“Pelbagai faktor risiko dikaitkan dengan penyakit diabetes seperti sejarah penyakit diabetes di dalam keluarga, berlebihan berat badan atau obesiti, peningkatan umur terutama selepas 45 tahun, amalan pemakanan tidak sihat, kehidupan yang sedentari dan sejarah penyakit diabetes semasa kehamilan.
“Oleh itu, kita amat mengalu-alukan masyarakat untuk menjalankan ujian saringan di klinik kesihatan yang berdekatan untuk mengetahui status kesihatan mereka.
“Apabila diabetes tidak dikesan dan dirawat dengan baik, ia boleh membawa kepada komplikasi yang serius dan berpotensi mengancam nyawa,” katanya.
Secara global, seramai 537 juta orang dewasa iaitu satu dalam 10 orang menghidap diabetes pada tahun 2021 dan dijangka meningkat kepada 643 juta menjelang 2030 dan 783 juta menjelang tahun 2045.
Mengulas lanjut, Asits memaklumkan, satu dalam lima orang dewasa di Malaysia adalah penghidap diabetes iaitu 3.9 juta, manakala di Sabah pula sebanyak 70,676 kes pesakit diabetes yang telah berdaftar di kesihatan awam.
Beliau memaklumkan bersempena dengan sambutan yang bertemakan “Akses Kepada Penjagaan Diabetes; Kenali Risiko Anda, Bertindak Sekarang” beberapa aktiviti khusus telah dilaksanakan sejak 20 November lalu.
“Bermula 20 November sehingga 24 November 2023, pameran sudut informasi penyakit Diabetes dan ceramah kesihatan telah dijalankan di beberapa fasiliti kesihatan di daerah Papar yang melibatkan empat Klinik Kesihatan dan sebuah Klinik Kesihatan Ibu dan Anak.
“Aktiviti pameran sudut informasi penyakit Diabetes dan ceramah kesihatan ini diadakan di ruangan menunggu unit pesakit luar dan farmasi Klinik Kesihatan Kinarut, Klinik Kesihatan Bongawan, Klinik Kesihatan Kuala, Klinik Kesihatan Ulu Kimanis dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Papar,” ujarnya.
Selain itu, katanya, pihaknya juga telah mengadakan bual bicara melalui FB Live Sektor Promosi Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah yang bertajuk ”Cegah Diabetes” pada 17 November lalu.
Bual bicara tersebut membincangkan mengenai Penyakit Diabetes, rawatan dan kepentingan saringan bagi mencegah penyakit Diabetes di Negeri Sabah.
Asits berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluannya dalam Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2023 yang dimeriahkan kira-kira 700 orang di sini, pada Sabtu.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Limbahau, Datuk Juil Nuatim yang diwakili Setiausaha Sulit Kepada Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas, Roslie Ibrahim.
Turut hadir, Pegawai Daerah Mohd Fuad Abdullah, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Maria Suleiman, Pegawai Kesihatan Daerah Papar Dr. Alfred Aldrin merangkap Pengerusi Pelaksana Sambutan dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Limbahau Datuk Johnny Mositun.
Acara bermula seawal jam 6.30 pagi di Dewan Serbaguna Kampung Biau disertai 500 peserta terdiri daripada pelajar institusi pendidikan serta masyarakat setempat dengan senamrobik bersama team Wellness Hub Sabah, sebelum pelepasan Diabetes Awareness Walk sejauh 5km oleh Pegawai Kesihatan Daerah Papar Dr. Alfred Aldrin yang juga Pengerusi Pelaksana sambutan berkenaan.
Dalam pada itu, beberapa aktiviti turut berlangsung dari jam lapan pagi hingga dua petang termasuk pameran dan kuiz kesihatan, saringan kesihatan NHSI dan saringan PekaB40. — JABATAN PENERANGAN SABAH