KOTA KINABALU: PKR Sabah menekankan keutamaan untuk mengekalkan hubungan baik dan stabil dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Walau bagaimanapun, kerjasama sedia ada dengan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dikekalkan.
Timbalan Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, rundingan awal secara tidak rasmi dengan GRS “sudah bermula dan menunjukkan tanda persefahaman”.
“Yang penting hubungan mesra antara GRS dan PKR diteruskan. Kita juga telah isytihar kerjasama dengan BN, jadi perlu bijak urus kedua-dua hubungan ini agar PKR mendapat ruang dalam agihan kerusi,” katanya.
Beliau menyifatkan pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Tawau baru-baru ini sebagai amat mesra dan mencapai beberapa persetujuan kerjasama.
Katanya, konsep kerajaan perpaduan perlu diterjemah dalam kerjasama politik di Sabah, selari dengan semangat di peringkat Persekutuan.
Jumlah kerusi yang akan ditandingi PKR belum diputuskan. Manakala penyandang kerusi mungkin dikekalkan, tertakluk kepada perbincangan parti.
Mustapha berkata belum ada sebarang rundingan bekerjasama dengan Warisan.






