KINABATANGAN: Seorang mangsa banjir yang menghidap penyakit kronik telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam satu operasi bersepadu susulan paras air Sungai Kinabatangan mencapai tahap bahaya.
Mangsa, Maidah Koi, 57, yang berasal dari Kampung Pengkalan Bukit Garam, pada awalnya berpindah secara sukarela ke balai raya sebelum PPS dibuka.
Bagaimanapun, keadaan banjir yang semakin buruk memerlukan tindakan segera oleh pihak berkuasa untuk memindahkan penduduk terjejas.
Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kinabatangan, Maidah mengalami beberapa masalah kesihatan serius, termasuk pendarahan di perut, jangkitan kuman di paru-paru, serta keperluan antibiotik berterusan.
Keadaan fizikalnya yang terhad juga memerlukan bantuan untuk bergerak.
Menurut seorang jurucakap agensi, operasi pemindahan dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi lain bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa banjir, terutamanya mereka yang berisiko tinggi.
“Pihak berkuasa terus memantau keadaan banjir dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.






