KUNDASANG: Seorang lelaki berusia 44 tahun cedera selepas kenderaan jenis Toyota Hilux Vigo yang dipandunya terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 30 meter berhampiran Shell, Pekan Kundasang, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 1.07 pagi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau yang diketuai PBK I Wasli Soupin bersama lapan anggota bergegas ke lokasi sejauh 15 kilometer dan tiba pada jam 1.25 pagi.
Menurut laporan operasi, mangsa berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Pasukan penyelamat kemudian memberikan rawatan awal sebelum menyerahkan mangsa kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Ranau menggunakan ambulans KKM untuk rawatan lanjut,” jelas kenyataan.
Operasi berkenaan ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.00 pagi setelah bomba memastikan kawasan kejadian selamat dan tiada risiko lain yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.





