JIM Serah Kepada SPRM Siasat Lima Pegawainya Berhubung Seludup PATI Di Sabah

JIM Serah Kepada SPRM Siasat Lima Pegawainya Berhubung Seludup PATI Di Sabah

0
SHARE
Imigresen
Logo Jabatan Imigresen Malaysia ( Sumber Foto: Gambar Google )

PUTRAJAYA, SELANGOR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan berhubung lima pegawainya di Sabah yang disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) pada Khamis lepas.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil bagi menyiasat perkara itu.

“JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan serta tidak akan melindungi mereka yang terbabit dalam aktiviti tidak berintegriti.

“Tindakan dan hukuman serius akan dikenakan termasuk buang kerja sekiranya pegawai terbabit terbukti bersalah.

“JIM serius dan komited dalam memastikan integriti pegawai sentiasa berada di tahap yang maksimum,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Dalam perkembangan lain, media sebelum ini melaporkan, lima pegawai Imigresen berusia 30 hingga 41 tahun itu terdiri tiga wanita dan dua lelaki, masing-masing bertugas di Lapangan Terbang Tawau (LTT) ditahan antara jam 2 petang hingga 9 malam menerusi Ops Lancar oleh SPRM.

Empat lagi individu awam disyaki ejen masing-masing ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan sekitar daerah Tawau antara jam 3 hingga 5 petang hari yang sama.

Ruslin berkata, JIM sudah mengadakan pelbagai program bagi menerapkan nilai integriti tinggi dalam kalangan setiap pegawainya.

Disamping itu, beliau juga berkata jabatan juga sentiasa bekerjasama dengan agensi lain termasuk SPRM dalam usaha memerangi penyeludupan migran.