RM500,000 Untuk Biayai Pelajar TVET Aeroangkasa Sabah

RM500,000 Untuk Biayai Pelajar TVET Aeroangkasa Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) meluluskan dana RM500,000 bagi membantu pembiayaan pelajar yang mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang aeroangkasa di Mega Aerospace Centre (KKIP Aerospace Training Centre).

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kelulusan itu merupakan permulaan penting dalam membuka lebih banyak peluang kepada anak muda Sabah mengikuti latihan kemahiran dalam bidang aeroangkasa, sekali gus membina masa depan dalam industri berkenaan.

“Saya menghargai kelulusan sumbangan dana pembiayaan pelajar di pusat ini sebanyak RM500,000.

Saya yakin kelulusan permulaan ini akan dapat membantu membina masa depan anak-anak muda Sabah yang memilih pengajian TVET di pusat ini.

“Dalam masa yang sama, Kerajaan Sabah melalui Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dan Tabung Pendidikan Sabah turut membantu pembiayaan pelajar di pusat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan kerja bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, ke Mega Aerospace Centre Sdn Bhd (KKIP Aerospace Training Centre) di Tuaran, hari ini.

Menurut Ewon, pembangunan latihan TVET dalam bidang berkemahiran tinggi penting bagi menyediakan lebih ramai tenaga kerja tempatan yang memiliki kemahiran bersesuaian dengan keperluan industri.

Bersempena kunjungan itu, turut diadakan upacara menandatangani dan pertukaran Surat Niat kerjasama antara Mega Aerospace Centre dan ADTEC JTM Kampus Kota Kinabalu.

Kerjasama berkenaan merupakan antara usaha memperkukuh jaringan latihan TVET serta pembangunan kemahiran dalam bidang aeroangkasa di Sabah.

Turut hadir Pengerusi Mega Aerospace Centre, Senator Datuk Nelson Angang; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET), Datuk Thomas Logijin; serta Ketua Pegawai Eksekutif KKIP Sdn Bhd, Cecilia Amid.