Pihak berkuasa membuat pemeriksaan terhadap bot tersebut dan menemui bungkusan dadah jenis methamphetamin dengan anggaran berat 70 gram disorokkan di dalam sebuah bekas...
KOTA KINABALU, SABAH – Sebuah bot tanpa nombor pendaftaran bersama tiga bungkusan hablur kristal dipercayai dadah jenis methamphetamin (syabu) berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah di perairan dekat Sutera Habour, sini, lebih kurang jam 10 malam semalam.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Hj. Mohd Rosli Abdullah, bot peronda Maritim Malaysia telah ditugaskan untuk melaksanakan ‘snap check’ dan pemantauan di kawasan-kawasan panas terutamanya di sekitar perairan selatan Pulau Gaya ke Tanjung Aru.
“Ketika sedang melaksanakan rondaan, bot peronda telah mengesan sebuah bot bergerak dalam keadaan mencurigakan serta bergelap dari Sutera Habour…
Syabu yang ditemui di dalam bot…
“Sejurus merapat ke bot tersebut didapati bot tersebut tiada pemandu dan disyaki telah terjun ke laut melarikan diri ke daratan berhampiran.
“Pemeriksaan ke atas bot tanpa nombor pendaftaran terbabit menemui tiga bungkusan dadah jenis methamphetamin dengan anggaran berat 70 gram disorokkan di dalam sebuah bekas,”katanya.
Mengulas lanjut, Rosli berkata bot berkenaan seterusnya dirampas dan dibawa ke Jeti Maritim Sepanggar dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya.