KIULU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, kerjasama dan persefahaman antara pemimpin adalah penting untuk membawa perubahan yang membina dalam komuniti.
Katanya, situasi ini dapat dilihat di Kiulu, di mana penduduk kampung telah mendapat manfaat daripada pertimbangan yang dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengenai keperluan mendesak komuniti di sini.
Beliau merujuk kepada penubuhan pejabat daerah kecil Kiulu yang dijanjikan oleh Hajiji sebagai respon kepada permintaan Joniston semasa pilihan raya negeri lalu.
“Kepimpinan memerlukan hubungan kerjasama dan persefahaman yang utuh…
“Masyarakat memerlukan pemimpin yang boleh menyuarakan keperitan rakyat dan berusaha untuk melaksanakan penyelesaian.
“Hubungan kerjasama persefahaman sebegini juga mesti dipupuk antara pemimpin muda dan senior bagi menyumbang idea dan penyelesaian baharu dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh komuniti,” kata Joniston pada program Anak Muda Peduli di Pekan Kiulu.
Beliau berkata, Kiulu juga bakal mempunyai pejabat mini sekretariat bagi menyelaraskan perkhidmatan pentadbiran dan meningkatkan kecekapan, sambil menambah Ketua Menteri dijangka melakukan majlis pecah tanah tidak lama lagi.
Katanya, perkara ini tidak mungkin dicapai sekiranya tidak wujud persefahaman di antara pemimpin.
Joniston turut menekankan kepentingan mempunyai toleransi dan kerja berpasukan antara pemimpin dan masyarakat dalam usaha membangunkan komuniti setempat.
“Di Kiulu, kami berkerja keras untuk membangunkan pelancongan luar bandar. Daripada hanya empat pengusaha pada 2014, kini terdapat lebih 70 pengusaha pelancongan desa yang aktif di kawasan ini.
“Ini adalah hasil daripada kerjasama komuniti yang sentiasa memberi galakan antara satu sama lain. Kerana itu, Kiulu hari ini mempunyai kekuatan dalam pelancongan berasaskan komuniti yang contoh kepada negeri lain,” katanya.