NEW YORK – Seramai 15 individu termasuk seorang wanita dikenali sebagai ‘AntiVaxMomma’ telah didakwa di sini kerana dipercayai terlibat dalam konspirasi pemalsuan kad vaksinasi, demikian menurut Pendakwa raya New York semalam.
Peguam daerah Manhattan dalam satu kenyataan yang dipetik AFP menyatakan Jasmine Clifford, 31, yang berasal dari New Jersey dipercayai ‘dalang’ kepada aktiviti haram berkenaan dituduh menjual kira-kira 250 kad inokulasi vaksin COVID-19 palsu melalui akaun Instagramnya, ‘AntiVaxMomma’.
Menurut pendakwa raya, kesalahan itu dilakukan suspek yang juga peniaga dalam talian sejak Mei lalu, dengan menjual kad pengesahan vaksinasi palsu pada harga AS$200 (RM830).
Tambahnya, Clifford turut bersekongkol dengan melakukan penipuan bersama Nadayza Barkley, 27, apabila memasukkan sekurang-kurangnya nama 10 individu ke dalam pangkalan data penduduk New York yang lengkap divaksinasi dengan mengenakan bayaran tambahan AS$250 (RM1,038).
Barkley didakwa bersama 13 lagi individu yang membeli kad berkenaan dan kesemua mereka dipercayai bekerja dalam sektor penting, termasuk di hospital dan rumah jagaan.
“Kami memerlukan syarikat seperti Facebook (syarikat induk Instagram) untuk mengambil tindakan bagi mencegah penipuan yang berlaku di platform mereka…
“Membuat, menjual, dan membeli kad vaksinasi palsu adalah jenayah serius kerana ia membabitkan keselamatan orang awam,” kata Peguam Daerah Manhattan, Cyrus Vance.
Tangkapan itu dibuat selepas AS mempertingkatkan keperluan vaksinasi bagi memperlahankan penularan varian Delta yang amat berbahaya.
Untuk rekod, New York mewajibkan semua pekerja kesihatannya menerima suntikan vaksin mulai September, manakala puluhan ribu pekerja di negeri itu perlu menunjukkan bukti vaksinasi atau membuat ujian saringan mingguan.
Di bandar raya New York, orang ramai yang keluar ke tempat tertutup seperti restoran dan gimnasium perlu menunjukkan bukti vaksinasi sama ada dalam bentuk digital atau kad.