Debaran Semakin Terasa, Persiapan Akhir Sambutan Hari Kebangsaan & Hari Sabah 2025

Debaran Semakin Terasa, Persiapan Akhir Sambutan Hari Kebangsaan & Hari Sabah 2025

0
SHARE

KOTA KINABALU: Hanya tinggal sehari menjelang Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025, debaran kian terasa apabila persiapan akhir sedang giat dijalankan di Jalan Tun Fuad Stephens, lokasi rasmi acara esok.

Raptai penuh telah berlangsung pada kelmarin dengan kehadiran Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tan Lee Fatt, serta Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Sri Dr. Sabin Samitah, JP, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan & Hari Sabah 2025, bersama ahli jawatankuasa penganjur dari pelbagai jabatan dan agensi.

Menurut laporan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, salah satu sorotan utama acara tahun ini ialah Persembahan Khas Hari Kebangsaan 2025 bertemakan “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni” oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).

Persembahan gabungan seni tari dan nyanyian ini bakal menampilkan barisan artis tempatan serta kumpulan kesenian seperti Borneo Art, ARTUMS, NGALAYS dan PRAPS.

Selain itu, acara perbarisan turut dijangka menjadi tumpuan dengan penyertaan 125 kontinjen dan 44 aset kenderaan yang akan berarak megah di sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens.

Kontinjen tahun ini dibahagikan kepada lapan kategori utama termasuk Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi, Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi, Swasta/Komersial, Persatuan Etnik Sabah, Pertubuhan Bukan Kerajaan, Institut Pengajian Tinggi, Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah.

Pakaian seragam, busana tradisional, hiasan aksesori serta maskot berwarna-warni dijangka menjadi penyeri sambutan, sekali gus membangkitkan semangat patriotisme.

Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke acara penuh bermula 6.30 pagi esok, bagi sama-sama meluahkan rasa cinta kepada tanah air dan menyemarakkan semangat kemerdekaan.