TUARAN: Unit Outreach Digital Beliawanis dicadang untuk diwujudkan bagi tujuan meneliti sentimen pengundi anak muda serta menyampaikan mesej politik secara berkesan di platform digital.
Cadangan itu diutarakan, Ketua Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sulaman, Noorazmahirah Noorzain sebagai usaha agar pendekatan mendekati pengundi muda dapat diperkasa dengan lebih strategik dan konsisten.
Beliau yang juga Naib Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Pusat, menegaskan bahawa anak muda kini membentuk hampir separuh daripada jumlah pengundi berdaftar di Sabah, menjadikan mereka kumpulan penentu terhadap jatuh bangun sesebuah parti politik.
“Pendekatan terhadap generasi muda tidak boleh lagi bergantung kepada cara lama. Mereka mahukan gaya komunikasi yang mesra, segar dan realistik. Justeru, dialog terbuka, forum intelektual serta interaksi dua hala, secara fizikal dan digital perlu diperbanyakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Beliawanis Sulaman di sini, baru-baru ini.
Beliau dalam pada itu turut menekankan keperluan untuk Gagasan Rakyat menjadi pemain aktif di medan digital, termasuk di platform seperti TikTok, Instagram dan YouTube yang kini menjadi gelanggang utama anak muda menilai dasar, kepimpinan dan masa depan politik negara.
Menurutnya lagi, Unit Outreach Digital Beliawanis bakal memainkan peranan penting dalam memantau sentimen dan respons golongan muda terhadap isu semasa, sambil menjadi saluran komunikasi dua hala yang inklusif dan jujur.
“Pengundi muda hari ini celik maklumat dan sangat responsif terhadap isu seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan dan integriti kepimpinan. Kita tidak boleh hanya tampil dengan retorik kosong, sebaliknya mesti menawarkan solusi realistik,” ujarnya.
Noorazmahirah juga menekankan cabaran besar dalam era ledakan maklumat apabila pengundi muda mudah terdedah kepada dakyah, fitnah serta manipulasi politik yang sering bersifat provokatif.
“Maka, menjadi tanggungjawab kita untuk menjadi agen penerang yang tampil memberi penjelasan berfakta serta menunjukkan rekod pencapaian sebenar pentadbiran GRS di Sabah,” tambahnya.
Beliau yakin kejayaan Gagasan Rakyat Sabah dalam pilihan raya akan datang sangat bergantung kepada keupayaan meraih kepercayaan anak muda, bukan melalui janji manis, tetapi dengan membina keyakinan bahawa kerajaan GRS PH Plus mampu membawa masa depan lebih cerah untuk negeri ini.






