PENAMPANG, SABAH – Calon kerusi Parlimen Penampang mewakili Pakatan Harapan (PH), Datuk Ewon Benedick menyifatkan persaingan perkhidmatan wakil rakyat di sini boleh membawa manfaat jika Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah orang yang berlainan.
“Selepas 19 November ini, rakan saya, Datuk Darell masih menjadi ADUN Moyog dan perlu menunaikan tanggungjawab kepada rakyat di DUN Moyog…
“Jika rakyat Penampang memilih Ahli Parlimen yang baharu, ia akan mewujudkan persaingan sihat perkhidmatan wakil rakyat daerah ini. Saya percaya wakil rakyat Penampang akan lebih agresif memberi perkhidmatan kepada rakyat selepas 19 November ini.
“Jika Ahli Parlimen masuk ke satu kampung, maka ADUN juga sudah tentunya akan masuk kampung juga…
“Jika saya diberi mandat menjadi Ahli Parlimen Penampang, saya akan bekerja keras untuk rakyat Penampang dan akan memberi saingan kepada perkhidmatan Wakil Rakyat di DUN Moyog,” katanya.
Ewon yang juga merupakan Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu menyatakan demikian dalam jelajah ceramah beliau di Kampung Guunsing, hari ini.


Beliau turut menyatakan perkara sama di Kampung Kituai Limbanak, Kampung Kolopis, Kampung Penapah Kondis dan Kampung Sugut dalam jelajah kempen beliau pada hari sebelumnya.
“Persaingan ini akan membawa manfaat kepada rakyat Penampang. Jika selama ini rakyat mengeluh sukar untuk berjumpa dengan wakil rakyat, maka selepas ini kesemua wakil rakyat perlu bekerja keras bukan hanya untuk turun padang, keluar masuk kampung, tetapi juga mencari penyelesaian kepada masalah dan keperluan pembangunan Penampang,” katanya.
Ahli Parlimen Penampang sebelum ini Datuk Darel Leiking juga merupakan ADUN Moyog.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) ini, Ewon akan berhadapan dengan Darell (WARISAN), Kenny Chua (Gabungan Rakyat Sabah) dan Richard Jimmy (bebas).





