KUALA LUMPUR – Gandingan bergu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah melakar sejarah apabila muncul beregu wanita pertama Malaysia menjuarai saingan Terbuka Perancis di Paris, malam tadi.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Pierre de Coubertin, Paris malam tadi, gandingan No.11 dunia itu menewaskan juara dunia dua kali dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara menerusi aksi tiga set 21-19, 18-21, 21-15.
Sebelum ini, pencapaian terbaik beregu wanita negara pada kejohanan yang mula diperkenalkan pada 1908 itu adalah menerusi gandingan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui yang muncul naib juara pada edisi 2008.
Sebagai rekod, kejuaraan di Paris kali ini adalah gelaran kedua buat Pearly-Thinaah dalam Jelajah Dunia BWF selepas menjuarai Terbuka Switzerland, tahun lalu.