DBKK Perkenal Zon ‘Ruang Orang Muda’, Platform Belia Serlah Bakat dan Keusahawanan

DBKK Perkenal Zon ‘Ruang Orang Muda’, Platform Belia Serlah Bakat dan Keusahawanan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus memperkukuh peranan belia dalam pembangunan bandar raya apabila memperkenalkan Zon ‘Ruang Orang Muda’ sebagai platform khas kepada golongan tersebut dalam penganjuran Pesta Selera KK 2026 sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-26 DBKK.

Inisiatif berkenaan memberi ruang kepada belia untuk menjalankan aktiviti perniagaan, mempromosikan produk serta menonjolkan kreativiti dan bakat dalam bidang seni, keusahawanan dan inovasi, sekali gus mencerminkan komitmen DBKK menjadikan generasi muda sebagai rakan strategik pembangunan bandar raya.

Pesta Selera KK 2026 yang berlangsung meriah di perkarangan Bangunan DBKK itu mencatat kehadiran dianggarkan seramai 8,000 pengunjung sepanjang tempoh penganjurannya.

Majlis pelancaran rasmi telah disempurnakan oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Dr. Sabin Samitah pada 6 Februari lalu.

Sebelum ini dikenali sebagai Fiesta Makan-Makan, program berkenaan dijenamakan semula kepada Pesta Selera KK selaras dengan pendekatan baharu DBKK dalam merangka program bandar yang lebih inklusif dan berimpak tinggi.

Penjenamaan tersebut bukan sekadar pertukaran nama, sebaliknya melibatkan peluasan skop penganjuran merangkumi elemen keusahawanan kecil, interaksi sosial, gaya hidup bandar serta pembangunan komuniti setempat.

Sebanyak 90 gerai jualan disediakan kepada peniaga tempatan dengan pembahagian kepada lima zon utama iaitu Zon Western dan Panggang, Zon Artisan, Zon Makanan Etnik, Zon Makanan Viral dan Buah-Buahan serta Zon Food Truck.

Pembahagian zon secara terancang itu bertujuan memastikan keselesaan pengunjung, kelancaran aliran orang ramai serta pematuhan terhadap aspek kebersihan dan keselamatan awam.

Secara keseluruhannya, penganjuran Pesta Selera KK 2026 bukan sahaja mempromosikan kepelbagaian makanan dan budaya tempatan, malah menyumbang kepada pengukuhan ekonomi setempat serta penglibatan komuniti dalam usaha membentuk bandar raya yang inklusif, dinamik dan berdaya huni.

DBKK turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk urus setia penganjur, para peniaga, agensi terlibat dan orang awam atas sokongan serta kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.