MOU LPKP Dan NIOSH Untuk Bantu Kurangkan Kadar Kemalangan Jalan Raya

MOU LPKP Dan NIOSH Untuk Bantu Kurangkan Kadar Kemalangan Jalan Raya

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) hari ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah.

MOU tersebut merupakan langkah strategik kedua-dua organisasi di dalam usaha menambahbaik aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi industri logistik dan pengangkutan di negeri Sabah.

Pengerusi LPKP Sabah, Datuk Chin Kim Hung berkata, kerjasama itu bertujuan untuk memperkasakan kualiti perkhidmatan kenderaan perdagangan khususnya di dalam mengurangkan kadar kemalangan semasa dalam perjalanan.

“LPKP Sabah dan NIOSH berharap agar keberhasilan MOU ini akan dapat meningkatkan kualiti penyampaian syarikat kenderaan perdagangan terutamanya berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerja…

“Sebagai organisasi milik kerajaan, LPKP Sabah dan NIOSH percaya dan yakin bahawa persefahaman ini akan memberikan manfaat kepada masyarakat dan rakyat di negeri Sabah,” katanya.

Majlis turut dihadiri oleh Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong, Pengerusi NIOSH; Puan Norsiah Patah, Pengarah LPKP Sabah; Wan Sarman bin Sakan, Pengurus NIOSH Wilayah Sabah dan Labuan; Mohd Hussin Abd Salam, Pengurus Perniagaan dan Pemasaran NIOSH dan pegawai-pegawai kanan LPKP Sabah dan NIOSH.