KOTA KINABALU, SABAH – Polis menahan tiga lelaki dan merampas lebih sembilan kilogram syabu bernilai RM386,848 dalam tiga serbuan berasingan di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata, serbuan pertama dibuat di Jalan Ranggung Batek di Likas yang membawa kepada dua lagi serbuan pada hari berikutnya.
“Dalam serbuan jam 2.45 petang itu, polis bahagian narkotik menahan seorang lelaki dan merampas tujuh peket berisi kristal dipercayai syabu seberat 7.17kg…
“Tangkapan itu kemudian membawa polis ke Luyang di mana suspek kedua ditahan,” katanya dalam satu sidang media pagi tadi.
Mohd Zaidi berkata siasatan berterusan kemudian membawa polis menahan suspek ketiga di Alamesra kira-kira jam 2 petang pada Khamis.
“Polis merampas 1.22kg syabu yang disimpan dalam beg suspek ketiga. Rumah suspek di Bantayan, Inanam kemudian diserbu di mana polis lagi menemui syabu seberat 1.22kg serta sekilogram ketamin,” katanya.
Mohd Zaidi berkata siasatan mendapati suspek berusia 37 hingga 52 tahun terbabit mula aktif sejak tahun lepas dan akan mendapat bekalan dadah melalui perkhidmatan kurier.
“Dua daripada tiga suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau dadah dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.