
KUCHING, SARAWAK – Pelajar tahun satu Pengajian Seni Kreatif UiTM Sarawak, Muhammad Abal Hakim Abal Mukam, 19, mewakili Malaysia ke ‘Certiport’s Adobe Certified Professional World Championship 2023’ di Orlando, Amerika Syarikat yang berlansung 28 Julai hingga 3 Ogos.
Memetik sumber Suara Sarawak, anak jati Kampung Gadong, Beaufort, Sabah itu terpilih mewakili negara setelah memenangi tempat kedua dan mendapat anugerah ‘People Choice Award’ dalam pertandingan ‘CCC’s Adobe Certified Professional Malaysia National Championship 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 1 Jun lepas.
Beliau memberitahu pertandingan terbabit dapat memberi pengalaman baharu dan loncatan besar buat dirinya.
Disamping itu, beliau turut menjelaskan ia merupakan pengalaman pertamanya menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.
“Ia sama seperti pertandingan kebangsaan namun kali ini akan lebih ramai peserta dari seluruh negara, justeru persekitarannya akan lebih berbeza…
“Dalam pertandingan ini, kami akan diberi tugasan untuk mereka bentuk poster berdasarkan kriteria pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), di sini hari ini.
Muhammad Abal turut mendapat tajaan RM20,000 dari kerajaan negeri Sabah yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalam pada itu, anak ketiga dari empat adik beradik itu memberitahu, beliau mempunyai pengalaman dalam seni reka kerana sering membuat ilustrasi sejak kecil.
“Saya banyak menyertai pertandingan seni kerana ayah saya. Ayah saya membawa saya ke beberapa pertandingan di Sabah,” katanya.
Muhammad Abal dalam masa yang sama turut menzahirkan penghargaan kepada pensyarahnya kerana membimbing dan membantunya dalam persiapan untuk pertandingan tersebut.
Turut hadir, Ketua Pusat Pengajian Seni Lukis, Seni Reka, Seni Bina, Perancangan dan Ukur Sr Dr Asmah Alia Mohamad Bohari dan Penyelaras Program Seni Reka Grafik dan Media Baru Clement Jimel.
