KOTA KINABALU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap bakal diisytiharkan kosong pada 3 September ini sekiranya penyandangnya, Datuk Peter Anthony, tidak memfailkan petisyen pengampunan dalam tempoh yang ditetapkan.
Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya berkata, Mahkamah Rayuan pada 20 Ogos lalu telah menolak permohonan Peter untuk mengkaji semula sabitan serta hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen, sekali gus mengekalkan keputusan penjara dan denda terhadap beliau.
“Menurut Perkara 17(1)(i) Perlembagaan Negeri Sabah, mana-mana ADUN yang disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000 akan hilang kelayakan. Namun, peruntukan ini dibaca bersama Perkara 17(3)(e) yang memberi tempoh 14 hari untuk memfailkan rayuan atau petisyen pengampunan,” katanya dalam sidang media di DUN Sabah di sini, pada Khamis.
Beliau menjelaskan, Peter mempunyai masa sehingga 2 September untuk memfailkan petisyen tersebut. Jika gagal, kerusi Melalap secara automatik akan menjadi kosong pada keesokan harinya.
“Sekiranya petisyen difailkan, kita perlu tunggu keputusan berhubung pengampunan itu. Tetapi jika tiada sebarang tindakan, kerusi berkenaan akan kosong secara automatik,” katanya lagi.
Kadzim turut menegaskan, urusan lanjut termasuk tarikh pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan kerusi itu adalah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).






