‘Kekalkan PMX Tiga Penggal Lagi Untuk Selesai MA63’

‘Kekalkan PMX Tiga Penggal Lagi Untuk Selesai MA63’

0
SHARE

AYER KEROH: Pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hanya mampu direalisasikan sekiranya Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi mandat sekurang-kurangnya tiga hingga empat penggal lagi.

​Pembahas wakil Sarawak, Louis Jampi menegaskan, keberanian politik yang ditunjukkan oleh PMX dalam mengembalikan hak-hak wilayah Borneo tidak pernah disaksikan di bawah mana-mana pentadbiran Perdana Menteri sebelum ini.

​”Kami yakin semua isu MA63 boleh diselesaikan selagi Madani dan PMX dikekalkan sekurang-kurangnya tiga atau empat penggal lagi.

​”Mun isok lusa bertukar perintah, ‘bye-bye’ lah MA63,” katanya ketika menyampaikan ucapan perbahasan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di sini pada Sabtu.

​Mengulas lanjut, Louis berkata rekod pentadbiran setakat ini membuktikan komitmen serius Kerajaan Persekutuan apabila 13 perkara berkaitan MA63 berjaya diselesaikan sepenuhnya, selain penggandaan geran khas Sabah dan Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta.

​Beliau mengingatkan rakyat di Sabah dan Sarawak agar tidak terperangkap dengan desakan politik yang mengabaikan pencapaian nyata yang telah dihasilkan dalam tempoh pentadbiran semasa.

​”Dalam kita ghairah menagih atau menuntut perkara yang belum selesai, jangan kita lupa bersyukur dan berterima kasih.

​”Sepanjang saya hidup, belum ada Perdana Menteri yang berani menyerahkan kembali hak Sabah dan Sarawak sebegini banyak. Walaupun berada dalam keadaan sukar dan ditekan dari kiri dan kanan, PMX masih mampu melaksanakan 13 perkara MA63,” tegasnya.

​Sehubungan itu, beliau menggesa agar kepimpinan serta rakyat Borneo terus memberikan sokongan padu kepada Kerajaan Persekutuan demi menjamin kesinambungan perjuangan hak Sarawak dan Sabah sebagai rakan kongsi negara yang dihormati.